Khamis, 6 November 2008

RUNTUH! RUNTUH! RUNTUH!

Apalah malang dan di mana silapnya nasib rakyat Malaysia hari ini apabila Dewan Rakyat dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Syed Hamid Albar terdapat seramai 257,411 bayi yang dilahirkan tanpa nama bapa yang sah sejak 8 tahun lalu.

Apakah kerana permodenan dan pembangunan insan yang tidak terancang serta kehidupan rakyat yang meninggalkan lunas-lunas beragama maka menjadikan negara melahirkan kumpulan manusia bobrok walau pun ada diantara mereka yang terlibat itu berkedudukan dan berkelulusan tinggi.

Bila perkara ini berleluasa, siapakah pula yang harus dipersalahkan? Itulah yang harus dihuraikan. Tidak mungkin ada ibu bapa yang mengalakkan anak-anak mereka berkelakuan sumbang hingga melahirkan anak-anak tidak sah taraf yang akhirnya meruntuhkan moral sendiri. Tekanan hidup moden dan runtuhnya kekuatan beragama bagi setiap bangsa yang diasaskan oleh dasar keterbukaan negara di bawah Barisan Nasional adalah sebenarnya menjadi punca kepada masalah yang kita bincangkan sekarang.

Di manakah peranan pemimpin-pemimpin Islam Hadari dalam soal ini. Bukankah apabila segala budaya asing dikembang-biakkan di negara ini, segala macam pesta digalakkan maka rakyat akan mengambil bahagian secara aktif di dalamnya. Rakyat akan menjadi lebih seronok berada di luar rumah dan berada di luar kawalan keluarga. Remaja lebih senang dan seronok berada di lingkungan hiburan dari terus merencana kehidupan bermakna bersama keluarga. Sebenarnya inilah punca segala masalah yang menimpa. Pemerintah jugalah yang harus dipersalahkan kerana rakyat negara ini berada di bawah lindungan mereka.

Persoalannya apakah yang akan terjadi pada anak-anak yang tidak sah taraf ini apabila mereka meningkat dewasa? Tidakkah mereka akan menjadi kumpulan manusia yang kecewa dan menghukum diri setelah mengetahui identiti tidak jelas yang dihadiahkan ibubapa sendiri.

Lebih malang lagi akibat keruntuhan moral hari ini akan menghadiahkan kepada negara dengan bakal-bakal pemimpin yang tidak diketahui asal usulnya. Malahan dengan berleluasanya soal kelahiran anak-anak tidak sah taraf ini akan mengakibatkan berlaku perkhawinan adik-beradik genetik pada satu masa akan datang. Inilah kegilaan hidup yang ditanggung rakyat sekarang.

Bagaimana pun anak-anak tidak sah taraf ini tidak berdosa tetapi dalam masyarakat kita pastinya mereka ini dipandang hina dan diberi gelaran tertentu yang akan menjadi keaiban mutlak mereka.

Bagaimana nanti apabila mereka mengetahui nama mereka tidak dibin dan dibintikan dengan nama bapa yang memelihara mereka. Apakah salah jika mereka mempersoalkan hal ini kepada penjaga mereka? Siapakah diantara kita yang sanggup membela jiwa dan perasaan golongan anak-anak tidak sah taraf ini apabila mereka dewasa kelak?
Ingatlah wahai pemimpin negara, sesungguhnya di tangan kamu telah diamanahkan Allah untuk menjaga dan melindungi rakyat dalam negara. Jangan kamu hanya melaung-laungkan soal beretika kepada rakyat, tetapi kamulah terlebih dahulu perlu beretika yang berasaskan pada ilmu dan amalan yang berpaut pada agama. Jika etika dan moral pemimpin negara runtuh maka hancurlah moral rakyat seumpama kata pepatah “BAGAIMANA ACUAN BEGITULAH KUIHNYA.“ - SKI