Khamis, 20 November 2008

BAJET PRIHATIN RAKYAT


JOHOR BAHRU: Pakatan Rakyat Negeri Johor akan mengemukakan satu cadangan bajet Prihatin Rakyat semasa sidang Dewan Undangan Negeri Johor bersidang pada 21 November ini.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Johor Dr. Noraini @ Ahmad Fadhi Saidi semasa sidang akhbar Pakatan Rakyat Johor di Hotel Naza Johor Bahru baru-baru ini.

Bajet Pakatan Rakyat yang bertemakan “Prihatin Rakyat” ini mengandungi empat strategi utama yang melibatkan pengurusan kewangan negeri dengan cara yang lebih prihatin serta akan menurunkan kadar defisit negeri ketika ekonomi global sedang menguncup sekarang.

Empat strategi utama ditekankan Pakatan Rakyat Johor ketika sidang Dewan merangkumi perkara berikut :

1. Mengurangkan perbelanjaan kerajaan negeri (Perbelanjaan berhemah )
2. Memberi fokus kepada masalah perumahan, pendidikan, pengangkutan awam, keselamatan, kesihatan dan alam sekitar
3. Meningkatkan hasil pendapatan kerajaan negeri
4. Meningkatkan kualiti hidup rakyat

“Kami melihat perkara tersebut sebagai wajib dilaksanakan bagi memberi nafas lega kepada seluruh rakyat yang terpaksa menanggung beban akibat kemelesetan ekonomi global yang kesannya ditanggung Negara,” katanya.

Menurut beliau pendapatan kerajaan negeri dijangka menurun sebanyak RM37.395 juta (5%) menjadi RM710.505 juta berbanding bajet 2008 sebanyak RM747.9 juta akibat kejatuhan harga komoditi dan kemelesetan ekonomi.

Defisit (hutang ) terpaksa ditanggung rakyat sekiranya kerajaan negeri terus melaksanakan bajet mereka kerana ketika ini pendapatan negeri telah jatuh. Jika pendapatan rendah bagaimana kita mahu berbelanja lebih kecuali dengan berhutang?” soalnya.

“Maka sebab itulah kami mencadangkan supaya perbelanjaan pengurusan kerajaan dikurangkan sebanyak 5% agar defisit turun kepada RM1.938 juta (0.2 %) berbanding defisiot bajet 2006 yang jumlahnya RM2.04 juta,” tambah beliau.

Penyaluran perbelanjaan pembangunan negeri ke sektor yang pro aktif juga dititik-beratkan di dalam bajet pakatan rakyat supaya ia memberi kesan ekonomi berganda kepada Johor.

“Pakatan Rakyat tidak mahu negeri johor dijerumuskan ke krisis ekonomi yang lebih besar lagi selepas ini sebab itu rakyat perlu bersama kami membina semula ekonomi negeri terutama ketika merudumnya ekonomi dunia,” tegas beliau .