Khamis, 20 November 2008
Parit Oh Parit
KeADILan Rakyat Zon Utara mengesa pihak yang bertanggungjawab supaya menumpukan perhatian kepada sistem saliran dan peparitan Parlimen Muar agar diselenggara dengan segera memandangkan negeri akan menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.
Desakan ini dilakukan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Parti keadilan Rakyat Negeri Johor Nah Budin kerana dari tinjauannya ke beberapa kampung di kawasan DUN Sg. Balang dalam Parlimen Muar mendapati sistem perparitan yang sediada tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya.
Menurut beliau kebanyakan parit kawasan benteng di DUN Sg. Balang di penuhi rumput- rampai hingga mengakibatkan aliran air tersekat dan tidak dapat mengalir dengan lancar.
“Kita bimbang, bila hujan lebat, maka banjir akan berlaku serta menimbulkan masalah kepada penduduk,” katanya.
Beliau yang juga bekas calon keADILan Parlimen Muar memberitahu telah dua tahun berturut-turut DUN Sg. Balang dilanda banjir dan yang terakhir berlaku pada hujung Ogos lalu.
Apabila setiap kali banjir, sumber pertanian akan musnah. Petani, pekebun kelapa sawit dan mereka yang mengerjakan tanah sendiri akan kehilangan pendapatan.
“Sudahlah harga barang pertanian jatuh, kelapa sawit melawas dan serangan penyakit pada sebahagian tanaman petani, sekarang musim hujan pula. Jadi bagaimana penduduk mahu memakmorkan ekonomi mereka?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya parti pemerintah mencari satu formula untuk menyelesaikan masalah ini kerana tidak ada ruginya menambah sedikit peruntukan untuk menyelesaikan soal perparitan berbanding kerugian yang terpaksa ditanggung oleh rakyat terbabit.
Katanya lagi, rakyat mahu melihat satu perubahan lebih baik berlaku dalam Parlimen Muar selepas pilihanraya lalu. Sekiranya keadaan menjadi semakin buruk maka sia-sia sahaja kuasa yang diberi rakyat selama ini.
“Kalau soal kemudahan beginipun pemerintah tidak mampu melaksanakan, apalah maknanya undi dan kuasa yang diberi kepada mereka?” soalnya lagi.