Selasa, 2009 November 03

Seorang Pejuang Kembali Menghadap Ilahi


Pada tanggal 2 November 2009 sekitar jam 6.00 petang seorang pejuang / penggerak parti telah kembali ke Rahmatullah akibat serangan penyakit jantung di Hotel Muar Traders, Muar, Johor. Beliau adalah Allahyarham Ja'afar bin Ahmad. Ia berlaku dengan sekelip mata sahaja di mana, di masa tersebut satu perbincangan diadakan di antara beliau dengan Dato' Chua Jui Meng serta Saudari Nah Budin juga bersama-sama beberapa orang rakan yang lain. Beliau telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Tanjung Agas (berhadapan Sekolah Menengah Sains Muar) pada jam 10.00 pagi hari Selasa. Keadilan Ledang khususnya dan Keadilan Johor amnya telah kehilangan seorang pejuang. Al-Fatihah!

Rabu, 2009 Januari 07

JOHOR OH JOHOR

Apakah keADILan Johor akan berkembang subur atau terus hilang taringnya setelah melalui pelbagai kejatuhan pemimpin-peminpin tertinggi negeri yang memegang jawatan Pengerusi Perhubungan Negeri yang terlalu acap kali bertukar tangan semenjak penubuhannya sekitar tahun 1998.

Senario penarikan balik kuasa kepimpinan tertinggi dalam keAdilan Johor yang sengaja dilakukan atas nama kuasa pihak tertinggi parti di Kuala Lumpur dilihat sebagai satu usaha keanak-anakan yang akhirnya merosakkan pertumbuhan dan perkembangan parti ini dalam negeri Johor.

Dalam tempoh sepuluh tahun terbinanya keAdilan di negeri Johor, kami di negeri ini menyaksikan sebanyak 7 kali perubahan pucuk kepimpinan negeri dilakukan pihak Pusat tanpa mengambil kira soal politik di Johor itu sendiri. Kuasa mutlak Presiden dijadikan alat untuk menukar kepimpinan di peringkat negeri dilihat banyak memberi sumbangan negatif ke arah perkembangan politik keAdilan Johor itu sendiri.

Sejarah keAdilan di Johor hanya melihat zaman kebangkitan dan kejatuhan sahaja tidak lebih dari itu. Kebangkitan dilakukan sekitar hujung tahun 1998 oleh Allahyarham Hj Abdul Kahar Ahmad bekas Timbalan Pengerusi Perhubungan Semangat 46 dan beberapa nama besar lain dalam politik kiri Johor hingga berjaya menubuhkan 19 bahagian dari 23 bahagian dalam negeri ini dalam tempoh tujuh bulan pertama kewujudan Parti keADILan Nasional di negara ini. Malah dalam masa sama dari 19 bahagian yang wujud 14 darinya wujud wanita bahagian.

Malangnya rampasan kuasa demi rampasan kuasa dilakukan selepas pilihanraya 1999 yang dipercayai didalangi orang-orang besar parti sendiri telah mengakibatkan keAdilan Johor terus tersungkur setiap kali ia cuba dibangkitkan oleh warga Johor yang selama ini diketahui tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa penjajah besar dunia dalam sejarah politiknya.

Politik rakus dan tidak sabar serta terlalu ghairah untuk mendapatkan kuasa oleh sebahagian dari ahli dilihat banyak menyumbang ke arah kegagalan terbinanya satu armada yang cukup kuat dalam politik keAdilan johor itu sendiri. Lobi-melobi dilakukan oleh mereka yang mahu berkuasa hingga kepimpinan pusat tidak nampak apa sebenarnya yang berlaku di negeri ini.

Adalah sesuatu yang membimbangkan bila suara dari ahli di peringkat negeri tidak mahu didengar atau diambil terlebih dahulu oleh pihak Pusat sebelum mereka melakukan sesuatu keputusan terhadap negeri ini. Malah hari ini kita melihat keADILan Johor sekali lagi hampir hancur apabila rata-rata Ketua Bahagian menolak keputusan Presiden meletak untuk kali kedua Dr Zaleha Mustaffa sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri dalam tempoh sepuluh tahun keADILan wujud di negeri ini.

Apakah nanti akan ujud team A dan team B dalam keAdilan Johor .Jika perkara ini berlaku saya melihat ini satu yang cukup malang bagi sebuah parti yang mahu berkuasa dalam politik negara ini. Kita akan bertempur sesama kita dan akhirnya yang mendapat untung pasti parti kawan dan lawan. KeAdilan akhirnya hanya akan melukut di tepi gantang, akan hilang kekuatan apabila ahli-ahli mula mempertikaikan setiap keputusan yang dibuat pemimpin mereka.

Ahli-ahli di Johor mahukan seorang pemimpin yang disenangi pengikut. Kita akan mengalami kerugian besar apabila meletakkan pemimpin yang tidak disenangi pengikut. Apakah kerana kegagalan kita memenangi mana-mana kerusi selepas PRU ke-12 lalu atau kemelut yang ditimbulkan sebahagian ahli dijadikan titik tolak ke arah gugurnya seseorang pemimpin sedang sebenarnya pemimpin telah puas menasihati pengikut supaya bergerak melalui landasan betul.

Akhirnya saya suka menasihatkan semua ahli supaya berusaha meletak kecemerlangan diri di atas segala-galanya sebelum berani mengambil risiko menjadi panglima perang dalam politik negara ini. Sepuluh tahun terbinanya keAdilan di negara ini adalah satu tempoh singkat untuk meletakkan kita sebagai jenderal dalam mana-mana peperangan politik. Yang muda dan baru terlibat dalam politik kiri tanah air belajarlah bertatih dahulu sebelum terus mahu berlari mengapai awan. Kita tidak mahu mereka ini jatuh terlentang dalam perjuangan yang terlalu panjang ini. Kita juga tidak mahu anak-anak muda yang hebat sekarang ini akhirnya hilang haluan apabila kehendak mereka tidak tercapai. Refomasi fikiran dan muhasabah diri perlu dilakukan seandainya kita benar-benar adil dalam kehidupan.


Nah Budin
Mantan Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional Johor (1998-1999)
Mantan Pegawai Tugas-tugas Khas Parti Keadilan Rakyat Johor (2007-2008)

Selasa, 2008 Disember 23

Komentar

Kegagalan YB Nik Nazmi Nik Ahmad ADUN Sri Setia menunaikan janji untuk berceramah di DUN Naning dalam Parlimen Bakri pada 12 Disember 2008 lalu dengan pelbagai alasan tidak matang sebagai seorang pemimpin adalah sangat dikesali dan menjatuhkan kredibiliti beliau di mata pengundi Johor.

Adalah sesuatu yang pelik bila beliau memberitahu bahawa petugas di pejabatnya tidak dapat menghubungi Nah Budin mantan Pegawai Tugas-tugas Khas keADILan Johor untuk tempuh dua minggu sebelum program dilaksanakan bagi mendapat kepastian program ceramah yang telah dipersetujui selama ini sedangkan talian telefon Nah Budin tidak pernah menghadapi masalah.

Rupanya dari siasatan yang dibuat Nik Nazmi telah membuat perjanjian dengan Hasmi Hashim Ketua keADILan Bahagian Parit Sulung untuk turun berceramah di DUN Seri Medan dalam Parlimen Parit Sulung pada tarikh sama beberapa hari sebelum tiba tarikh ceramah yang dipersetujui.

Kalaupun Nik Nazmi tidak mahu turun berceramah di tempat yang dijanjikan lebih awal (Parlimen Bakri ) adalah lebih bertanggung jawab beliau terus membatalkan rancangan yang telah diatur sejak lebih sebulan lalu. Tidak payahlah beliau mencipta pelbagai alasan untuk menegak benang basah atas kebodohan seorang peguam muda mengemudi rancangan politik yang dipercayai telah ditunggangi pihak tertentu.

Bagi pihak penganjur, kepercayaan terhadap ADUN Sri Setia ini telah tiba jalan penamatnya. Kita tidak mahu pemimpin yang ditunggangi mana-mana pihak, kita tidak mahu pengundi menunding jari pada penganjur atas kesalahan yang sengaja dilakukan pemimpin seperti beliau.

Jika Nik Nazmi mahu terus berada di persada kepimpinan adalah wajar satu refomasi dilakukan beliau bermula dari diri beliau sendiri. Buatlah satu keputusan muktamad dalam melaksanakan tanggung jawab terhadap perjuangan parti. Sesungguhnya kita ini manusia yang berpegang kepada janji. Jangan kerana janji yang tidak kita tunaikan kepada pengundi akan merosakkan nama seluruh parti.

Nik Nazmi juga dilihat sebagai pemimpin pemuda yang gagal mematuhi arahan program kerana beliau hanya tiba di tempat ceramah pertama di Parit Sulung kira-kira jam 11.05 minit malam dan berucap sekitar 15 minit sahaja sedangkan arahan yang dikeluarkan Nah Budin beliau sepatutnya menghabiskan ceramah di Parit Sulung sekitar jam 10.30 malam kemudian perlu bergegas ke Parlimen Bakri untuk mula berceramah sekitar jam 11.00 malam.

Sebagai penganjur majlis sukalah juga saya menasihatkan Setiausaha kepada Menteri Besar Selangor ini agar lebih bertanggung jawab di masa akan datang. Jangan diabaikan kepercayaan yang diberikan kerana ia akan memberi kesan tidak baik kepada seluruh perjuangan parti. Pengundi mengharapkan seorang pemimpin muda yang berwibawa, jangan kali pertama dibawa masuk ke Johor telah menunjukkan kelemahan yang begitu nyata.

Pengundi tidak mahu pemimpin yang sebelum berkuasa menabur janji tetapi bila mendapat sedikit kuasa melakukan sesuatu mengikut suka sendiri. Pengundi mahukan pemimpin yang tegas dengan keputusan bukan yang cuba menyembunyikan kebenaran dengan mencipta alasan serta ditunggangi pihak lain yang sebenarnya menghancurkan keseluruhan parti.

Seketariat keADILan Zon Utara Johor

Analisis Kerusi Parlimen & DUN

Seketeriat keADILan Zon Utara Johor mensasarkan agar bahagian-bahagian yang bertanding dalam PRU ke-12 lalu supaya lebih bersedia bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang sekiranya mereka benar-benar berhasrat memerintah negeri ini dan negara selepas pilihanraya akan datang.


 

Kajian yang dibuat pihak seketeriat mendapati semua bahagian yang ditandingi dalam pilihanraya ke-12 lalu mudah untuk dimenangi parti sekiranya semua jentera parti digerakkan mengikut landasan yang diperjuangkan selama ini.


 

Kekalahan tipis dikebanyakan kerusi yang ditandingi di peringkat DUN dan Parlimen dalam negeri Johor berbanding pilihanraya tahun 2004 adalah gambaran sebenar kehendak pengundi dalam negeri ini yang menyatakan penolakan mereka terhadap Barisan Nasional yang telah memerintah negara sejak 51 tahun lalu.


 

Sikap telus di kalangan pemimpin tempatan juga dilihat sangat perlu bagi menentukan kejayaan parti dalam pilihanraya akan datang. Pemimpin di bahagian-bahagian yang bertanding hendaklah melakukan perubahan sikap dalam kepimpinan mereka supaya mereka dilihat sebagai ketua yang berwibawa di bahagian masing-masing.


 

Akui kelemahan kepemimpinan masing-masing mulai sekarang. Keikhlasan mengakui kelemahan bukanlah satu yang memalukan. Tetapi sebenarnya menjadi titik tolak untuk bahagian-bahagian melangkah memerangi musuh parti yang jauh lebih bersedia dalam perang politik di masa akan datang.


 

Untuk perjuangan menegakkan keadilan semua pemimpin di peringkat bahagian yang diberi kepercayaan di dalam pemilihan lalu perlulah melaksanakan tanggung jawab mereka selaras kehendak parti yang mahukan mereka menjadi agen perubahan kepada negara.


 

Melalui ruangan ini seketeriat KeADILan Zon Utara menurunkan jumlah undi minima yang perlu ditambah oleh bahagian-bahagian yang terlibat dalam pilihanraya lalu samada di kerusi Parlimen atau DUN dalam negeri Johor bagi memenangi pilihanraya akan datang.


 


 

PARLIMEN - Tambahan undi diperlukan 

DUN - Tambahan undi diperlukan 

1 

Sekijang 

4,936 

1 

Kemelah 

2,718 

2 

Ledang 

3,809 

2 

Semerah 

2,538 

3 

Muar 

2,331 

3 

Layang-layang 

1,222 

4 

Sri Gading 

5,437 

4 

Kahang 

2,663 

5 

Semberong 

5,786 

5 

Tanjung Surat 

4,605 

6 

Pasir Gudang 

8,631 

6 

Tiram 

4,090 

7 

Gelang Patah 

4,426 

7 

Puteri Wangsa 

2,861 

8 

Pengerang 

- 

8 

Tanjung Putri 

4,642 

9 

Pontian

7,223 

9 

Bukit Batu 

1,171 

Khamis, 2008 Disember 11

BANJIR



KeADILan Ledang mengesa kerajaan Johor supaya bertindak segera bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di Kampung Parit Ponorogo dalam DUN Serom apabila setiap kali musim hujan berlaku.

Penduduk mendakwa walaupun hujan hanya untuk beberapa jam sahaja kawasan kampung tersebut akan ditenggelami air dan sukar untuk surut kerana sistem salirannya yang tidak berfungsi.

Tinjauan yang dibuat Pegawai Tugas-tugas Khas KeADILan Johor, Nah Budin mendapati hampir kebanyakan kawasan pertanian terutama kewasan kebun kelapa sawit dan pertanian lain ditakungi air dan ini menyukarkan penduduk untuk mengeluarkan hasil pertanian mereka serta menghalang mereka keluar dari kawasan kampung setiap kali musim hujan.

“Sudahlah harga kelapa sawit jatuh dan kos penyelenggaraan tinggi, petani dan pekebun sawit terpaksa menanggung kerugian akibat kebun mereka ditenggelami air,” ujarnya.

Beliau seterusnya menyarankan supaya satu tindakan segera dilakukan pihak berkenaan untuk memulihkan keadaan dan membolehkan petani dan pekebun kelapa sawit dapat melakukan aktiviti mereka seperti sepatutnya.

“Saya dimaklumkan keadaan banjir ini memang kerap berlaku tetapi tidak ada tindakan diambil bagi mengatasi sistem saliran yang tidak berfungsi. Memandangkan ia terletak di kawasan yang diwakili Menteri Besar Johor maka wajarlah beliau menunjukkan komitmen ke arah memulihkan keadaan,” ujarnya.

Turut melahirkan kebimbangan, Ketua KeADILan Ledang Sdr Rizal 35 tahun yang sering menerima runggutan penduduk dan pernah terkandas ketika melakukan lawatan ke kawasan tersebut.

“Menteri besar seharusnya meninjau kawasan ini kerana ia berhampiran kediaman beliau dan perlu bertindak segera bagi menyelamatkan pendapatan pekebun dan harta penduduk,” katanya.

“Tidak sewajarnya soal peparitan dibiar tidak berselenggara sebab petani dan pekebun kelapa sawit akan menderita apabila hasil pertanian mereka musnah,” tambah beliau.

Justeru, ketelusan Menteri Besar dituntut supaya masalah ini diatasi segera kerana bimbang akan mengancam harta dan nyawa penduduk sekiranya air naik lebih tinggi setiap kali musim hujan tiba.

“Setiap kali banjir berlaku petani dan penduduk berada di dalam kesukaran kerana harta mereka musnah dan memberi kesan kepada ekonomi penduduk di sini,” akhirnya.

Khamis, 2008 Disember 04

Susulan Bajet Pakatan Rakyat Johor 1


Satu refomasi dalam bidang pendidikan, kesihatan dan memelihara alam sekitar dicadangkan oleh Pakatan Rakyat Johor bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat menjelang 2009.

Demikian dijelaskan Pengerusi Perhubungan KeADILan Johor, Dr Ahmad Faidi @ Noraini Saidi ketika mengulas bajet prihatin rakyat yang dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada 21 November lalu.

“Biasiswa pendidikan akan diberi kepada pelajar yang menuntut di universiti dalam dan luar negara bagi menggantikan skim pinjaman seperti yang ada sekarang ini malah bagi pelajar yang beragama Islam mereka akan diberi biasiswa melalui tabungan wang zakat negeri bagi menampung menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Menurut beliau sebahagian dari pendapatan zakat sebanyak RM177 juta bagi tahun 2007 akan dimanafaatkan untuk membantu pelajar-pelajar Islam sebagai pelaburan bagi membentuk rakyat yang yang berkualiti dan profesional dalam negara.

Dalam cadangan bajet itu juga, Pakatan Rakyat mencadangkan supaya satu peruntukan yang mencukupi dikeluarkan bagi memperbaiki dan membina kemudahan tambahan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dimilik negerikan Barisan Nasional beberapa tahun lalu.

“Malah kami mencadangkan kepada Dewan Undangan Negeri supaya Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor mengwujudkan kerjasama dengan pusat-pusat pengajian agama Islam ternama dalam dan luar negara bagi membangkitkan kualiti pendidikan Islam dalam negeri ini,” sambung beliau.

Bagi meningkatkan kualiti kesihatan pula Pakatan Rakyat mencadangkan supaya Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan JCorp menyediakan kemudahan perubatan am dan pusat-pusat rawatan dialisis di samping menambah klinik dan hospital wakaf.

“Kami melihat terlalu ramai rakyat negara ini yang tidak mampu membiayai kos rawatan mereka maka adalah perlu supaya cadangan tersebut dilaksanakan kerajaan negeri bagi menampung kekurangan yang ada,” tambah Dr Ahmad Fadhi lagi.

Dalam bajet tersebut juga Pakatan Rakyat turut menyentuh soal kewujudan bangunan terbengkalai yang menjadi punca gejala sosial di bandar-bandar besar seperti Johor Bahru yang dilihat mengancam keselamatan rakyat negeri ini.

Justeru, beliau berharap supaya kerajaan negeri wajar mengenal pasti punca terbengkalai dan mencari jalan penyelesaian projek bangunan seperti bangunan Waterfront City, Kemayan City, Pasific Mall dan Sekudai Plaza kerana pembaziran besar telah dilakukan ketika menguruskan wang rakyat.

“Pakatan Rakyat bimbang kerajaan negeri akan menanggung kehilangan wang rakyat dengan jumlah lebih besar dan keadaan sosial yang bertambah buruk menjadikan kita terpanggil membuat cadangan-cadangan tersebut kepada kerajaan negeri,” jelasnya.

KEBEBASAN FIKIRAN AKAN MENDAULATKAN RAKYAT


Rakyat negara ini perlu membebaskan pemikiran, kedaulatan dan kemanusiaan mereka dari terus dirantai Barisan Nasional jika benar-benar mahu menukar parti pemerintah dalam pilihanraya akan datang.

Rakyat juga perlu bangkit dari kesengsaraan disekat daya menilai sesuatu yang baik dan buruk selama 51 tahun merdeka tanpa sedikitpun menolak nilai-nilai kemanusiaan mereka.

Demikian dijelaskan pegawai tugas-tugas khas keADILan Johor, Nah Budin ketika memberikan penerangan dalam program ceramah Pakatan Rakyat di Bukit Gambir dekat sini baru-baru ini.

“Dalam negara ini, rakyat perlu bertindak membela nasib sendiri kerana parti pemerintah yang dipilih rakyat selepas PRU 12 lalu masih terus menjalankan dasar sama dengan menindas dan menafikan hak rakyat dalam urusan bernegara,” katanya.

Nasib rakyat tidak ubah seperti ayam daging yang diberi makan sekenyang-kenyangnya sebelum mereka disembelih, malah untuk menghadapi pilihanraya lalu rakyat ditaburkan dengan pelbagai janji tetapi setelah memperolehi kuasa nasib rakyat terus dilupakan.

“Kalau parti pemerintah benar-benar jujur janganlah mereka bertindak memberi perahu dan pengayuh kepada rakyat supaya supaya bertarung di gelombang besar tetapi dalam masa sama tali perahu itu terus ditambat di pangkalan,” ucap beliau di majlis yang turut dihadiri YB Salahuddin Ayob, Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Selanjutnya beliau menjelaskan bahawa darjat kemuliaan insan, kebebasan dan hak semua manusia perlu diangkat semula demi masa depan untuk bernegara.

“Tidak timbul soal rakyat mahu menderhaka kepada parti pemerintah tetapi yang dilakukan rakyat hanyalah mempertahankan kedaulatan mereka kerana rakyat telah merasa cukup sengsara akibat tingkah laku yang dilakukan oleh parti berkuasa,” tambah beliau.

Beliau selanjutnya menyeru supaya dalam pilihanraya akan datang rakyat tidak boleh lagi bertindak seumpama menyerah hulu keris kepada parti pemerintah sebab tindakan tersebutlah yang membinasakan mereka selama ini.

“Ketuanan rakyat jangan lagi dihambakan oleh pemerintah kerana kebangkitan rakyat adalah kebangkitan roh kemanusiaan dan tiada siapa mampu menghalangnya,” tambah beliau.

Beliau selanjutnya menjelaskan bahawa KeADILan sentiasa meletakkan rakyat sebagai tuan dan pemimpin parti adalah pekerja maka jika pemimpin melakukan kezaliman maka rakyat berhak menghukum mereka.

“Rakyat perlu menetapkan harga jiwa, keinginan dan tentangan terhadap Barisan Nasional yang dilihat indahnya bersinar tetapi sebenarnya kaca pecah telah berselerak di merata sudut kehidupan,” tambah beliau.