Selasa, 23 Disember 2008

Komentar

Kegagalan YB Nik Nazmi Nik Ahmad ADUN Sri Setia menunaikan janji untuk berceramah di DUN Naning dalam Parlimen Bakri pada 12 Disember 2008 lalu dengan pelbagai alasan tidak matang sebagai seorang pemimpin adalah sangat dikesali dan menjatuhkan kredibiliti beliau di mata pengundi Johor.

Adalah sesuatu yang pelik bila beliau memberitahu bahawa petugas di pejabatnya tidak dapat menghubungi Nah Budin mantan Pegawai Tugas-tugas Khas keADILan Johor untuk tempuh dua minggu sebelum program dilaksanakan bagi mendapat kepastian program ceramah yang telah dipersetujui selama ini sedangkan talian telefon Nah Budin tidak pernah menghadapi masalah.

Rupanya dari siasatan yang dibuat Nik Nazmi telah membuat perjanjian dengan Hasmi Hashim Ketua keADILan Bahagian Parit Sulung untuk turun berceramah di DUN Seri Medan dalam Parlimen Parit Sulung pada tarikh sama beberapa hari sebelum tiba tarikh ceramah yang dipersetujui.

Kalaupun Nik Nazmi tidak mahu turun berceramah di tempat yang dijanjikan lebih awal (Parlimen Bakri ) adalah lebih bertanggung jawab beliau terus membatalkan rancangan yang telah diatur sejak lebih sebulan lalu. Tidak payahlah beliau mencipta pelbagai alasan untuk menegak benang basah atas kebodohan seorang peguam muda mengemudi rancangan politik yang dipercayai telah ditunggangi pihak tertentu.

Bagi pihak penganjur, kepercayaan terhadap ADUN Sri Setia ini telah tiba jalan penamatnya. Kita tidak mahu pemimpin yang ditunggangi mana-mana pihak, kita tidak mahu pengundi menunding jari pada penganjur atas kesalahan yang sengaja dilakukan pemimpin seperti beliau.

Jika Nik Nazmi mahu terus berada di persada kepimpinan adalah wajar satu refomasi dilakukan beliau bermula dari diri beliau sendiri. Buatlah satu keputusan muktamad dalam melaksanakan tanggung jawab terhadap perjuangan parti. Sesungguhnya kita ini manusia yang berpegang kepada janji. Jangan kerana janji yang tidak kita tunaikan kepada pengundi akan merosakkan nama seluruh parti.

Nik Nazmi juga dilihat sebagai pemimpin pemuda yang gagal mematuhi arahan program kerana beliau hanya tiba di tempat ceramah pertama di Parit Sulung kira-kira jam 11.05 minit malam dan berucap sekitar 15 minit sahaja sedangkan arahan yang dikeluarkan Nah Budin beliau sepatutnya menghabiskan ceramah di Parit Sulung sekitar jam 10.30 malam kemudian perlu bergegas ke Parlimen Bakri untuk mula berceramah sekitar jam 11.00 malam.

Sebagai penganjur majlis sukalah juga saya menasihatkan Setiausaha kepada Menteri Besar Selangor ini agar lebih bertanggung jawab di masa akan datang. Jangan diabaikan kepercayaan yang diberikan kerana ia akan memberi kesan tidak baik kepada seluruh perjuangan parti. Pengundi mengharapkan seorang pemimpin muda yang berwibawa, jangan kali pertama dibawa masuk ke Johor telah menunjukkan kelemahan yang begitu nyata.

Pengundi tidak mahu pemimpin yang sebelum berkuasa menabur janji tetapi bila mendapat sedikit kuasa melakukan sesuatu mengikut suka sendiri. Pengundi mahukan pemimpin yang tegas dengan keputusan bukan yang cuba menyembunyikan kebenaran dengan mencipta alasan serta ditunggangi pihak lain yang sebenarnya menghancurkan keseluruhan parti.

Seketariat keADILan Zon Utara Johor