Khamis, 4 Disember 2008

Susulan Belanjawan Pakatan Rakyat Johor 3


Keperluan meningkatkan keselamatan dan keamanan serta usaha menambah hasil pendapatan kerajaan negeri adalah antara saranan utama Belanjawan Pakatan Rakyat seperti dibentangkan ketika persidangan Dewan Undangan negeri Johor baru-baru ini. Demikian dijelaskan Pegawai tugas-tugas khas KeADILan Johor, Nah Budin ketika mengulas cadangan belanjawan prihatin rakyat tersebut.

“Walaupun pentadbiran polis tidak terletak di bawah kekuasaan kerajaan negeri atau kerajaan tempatan tetapi sebagai pemerintah di peringkat negeri adalah wajar bagi Barisan Nasional memainkan peranan dalam mengwujudkan suasana kediaman yang selamat dan selesa,” ujarnya.

Di dalam cadangan belanjawan tersebut juga Pakatan Rakyat menyarankan supaya kerajaan tempatan menyediakan kemudahan pengcahayaan awam yang menyeluruh dan dapat berfungsi dengan berkesan untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya jenayah di kawasan perumahan.

“Memandangkan kadar jenayah cukup tinggi berlaku di negeri Johor maka polis perlu lebih cekap dalam bertindak dengan pendekatan pencegahan yang segera samada melalui Rakan Cop, Polis Hotline dan Laman Web,” sambungnya.

Seterusnya beliau berkata cadangan bajet kali ini juga menyentuh soal pengurusan tanah lapang dan bangunan terbengkalai perlu dilakukan segera oleh kerajaan negeri kerana tempat-tempat begini sering dijadikan sebagai sarang penagihan dadah dan tempat penyembunyian penjenayah.

Cadangan Belanjawan 2009 ini juga mensasarkan supaya Akuan Hasil disatukan bagi mengurang defisit yang ditanggung Negeri Johor selama ini melalui usaha meningkatkan sumber atau hasil pendapatan negeri.

“Jutaan wang pembayar cukai perlu diselamatkan melalui Sistem Tender Terbuka yang berdaya saing dan telus yang akan memberi peluang sama rata untuk mendapat kontrak dan projek bekalan daripada kerajaan,” jelas beliau yang juga merupakan bekas Calon keADILan Muar.

Beliau juga menjelaskan bahawa Sistem Tender Terbuka ini juga perlu digunapakai dalam penganugerahan konsesi balak, pembangunan tanah kerajaan dan pelupusan aset-aset kerajaan negeri.

Malahan Pakatan Rakyat Johor juga bercadang untuk mengambil tindakan tegas melalui undang-undang bagi mengutip tunggakan hutang cukai tanah dan sewaan rumah kerajaan berjumlah RM119.09 juta pada tahun 2007.

Selanjutnya Nah menjelaskan bahawa Pakatan Rakyat mendesak supaya kerajaan negeri mengkaji semula pelaburan yang tidak menguntungkan dalan syarikat Air Johor Sdn Bhd bernilai RM100 juta, Syarikat Permodalan Darul Takzim sebanyak RM1 juta dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) sebanyak RM1 juta.

“Sudah tiba masanya Pakatan Rakyat Johor bertindak tegas untuk menyelamatkan harta rakyat negeri ini dan dijana ekonomi mereka dengan keprihatinan dan bertanggung jawab,” jelas beliau.