Khamis, 11 Disember 2008
BANJIR
KeADILan Ledang mengesa kerajaan Johor supaya bertindak segera bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di Kampung Parit Ponorogo dalam DUN Serom apabila setiap kali musim hujan berlaku.
Penduduk mendakwa walaupun hujan hanya untuk beberapa jam sahaja kawasan kampung tersebut akan ditenggelami air dan sukar untuk surut kerana sistem salirannya yang tidak berfungsi.
Tinjauan yang dibuat Pegawai Tugas-tugas Khas KeADILan Johor, Nah Budin mendapati hampir kebanyakan kawasan pertanian terutama kewasan kebun kelapa sawit dan pertanian lain ditakungi air dan ini menyukarkan penduduk untuk mengeluarkan hasil pertanian mereka serta menghalang mereka keluar dari kawasan kampung setiap kali musim hujan.
“Sudahlah harga kelapa sawit jatuh dan kos penyelenggaraan tinggi, petani dan pekebun sawit terpaksa menanggung kerugian akibat kebun mereka ditenggelami air,” ujarnya.
Beliau seterusnya menyarankan supaya satu tindakan segera dilakukan pihak berkenaan untuk memulihkan keadaan dan membolehkan petani dan pekebun kelapa sawit dapat melakukan aktiviti mereka seperti sepatutnya.
“Saya dimaklumkan keadaan banjir ini memang kerap berlaku tetapi tidak ada tindakan diambil bagi mengatasi sistem saliran yang tidak berfungsi. Memandangkan ia terletak di kawasan yang diwakili Menteri Besar Johor maka wajarlah beliau menunjukkan komitmen ke arah memulihkan keadaan,” ujarnya.
Turut melahirkan kebimbangan, Ketua KeADILan Ledang Sdr Rizal 35 tahun yang sering menerima runggutan penduduk dan pernah terkandas ketika melakukan lawatan ke kawasan tersebut.
“Menteri besar seharusnya meninjau kawasan ini kerana ia berhampiran kediaman beliau dan perlu bertindak segera bagi menyelamatkan pendapatan pekebun dan harta penduduk,” katanya.
“Tidak sewajarnya soal peparitan dibiar tidak berselenggara sebab petani dan pekebun kelapa sawit akan menderita apabila hasil pertanian mereka musnah,” tambah beliau.
Justeru, ketelusan Menteri Besar dituntut supaya masalah ini diatasi segera kerana bimbang akan mengancam harta dan nyawa penduduk sekiranya air naik lebih tinggi setiap kali musim hujan tiba.
“Setiap kali banjir berlaku petani dan penduduk berada di dalam kesukaran kerana harta mereka musnah dan memberi kesan kepada ekonomi penduduk di sini,” akhirnya.