Khamis, 4 Disember 2008
TAMAN REKREASI TERBIAR
Taman Rekreasi Kesang dekat sini dilihat sebagai satu lagi projek gajah putih Barisan Nasional Johor apabila ia tidak dimanafaatkan sebagai sepatutnya oleh penduduk dan rakyat yang melalui jalan Muar ke Sungai Rambai.
Tinjauan yang dibuat mendapati bukan saja struktur bangunan tersebut telah banyak rosak tetapi juga dijadikan sebagai tempat pembuangan sampah oleh mereka yang tidak bertanggung jawab.
Juga didapati semua premis perniagaan telah ditutup atas sebab-sebab yang tidak diketahui malahan dibimbangi tempat ini dijadikan tempat persembunyian mereka yang tidak bertanggung jawab serta tempat berkumpulnya penagih dadah.
“Ini adalah pembaziran yang dilakukan kerajaan negeri. Bangunan semahal ini yang terletak di tempat strategi telah gagal dimanafaatkan oleh mereka malah wang rakyat dihabiskan tanpa memperolehi pulangan balik sebagai faedah untuk dikembalikan kepada rakyat,” ujar Pegawai Tugas-Tugas khas KeADILan Johor, Nah Budin ketika membuat tinjauan di tempat tersebut.
Taman rekreasi ini terletak dalam DUN Serom yang diwakili Menteri Besar maka wajarlah beliau memberi tumpuan untuk membaik pulih keadaan ini supaya tidak menimbulkan masalah lebih besar di masa depan.
“Kita bimbang tempat ini akan menjadi sarang jenayah dan tempat penagih dadah kerana ia telah diabaikan sejak sekian lama dan pasti membawa kesan buruk pada keadaan sosial negeri ini,” ujar beliau.
Sementara itu Ketua AMK Zon Utara, Mohamad Azam Basri menyifatkan tindakan pihak tertentu menjadikan kawasan rekreasi ini sebagai tapak pembuangan sampah adalah sesuatu yang keterlaluan dan wajar diambil tindakan.
“Sikap tidak bertanggung jawab ini perlu dihentikan kerana kawasan ini perlu dipelihara kecantikan dan kebersihannya sebagai mencerminkan kita sebagai manusia yang mahukan kesempurnaan, sedangkan sekarang ia cukup menjijikkan,” kata Mohamad Azam.
Selanjutnya Azam menyarankan supaya pihak berkenaan lebih peka dan prihatin terhadap masalah yang dihadapi kerana ia memberi kesan buruk jika kawasan ini disinggahi orang yang lalu lalang.
Turut melahirkan kekesalan, Salleh Ibrahim seorang yang menggunakan laluan Muar ke Melaka atas urusan kerja terhadap apa yang berlaku di kawasan rekreasi ini.
“Rakyat menuntut satu demokrasi terpimpin dari kerajaan negeri supaya lebih bertanggung jawab terhadap setiap harta yang ada dan tidak dibazirkan begitu sahaja,” katanya.
“Adalah lebih baik wang rakyat disalurkan ke arah yang lebih bermanafaat seperti untuk membantu mereka yang rendah ekonominya dari dibazirkan sebagaimana yang dilakukan pada bangunan ini,” tambah Salleh.