Khamis, 4 Disember 2008

KEBEBASAN FIKIRAN AKAN MENDAULATKAN RAKYAT


Rakyat negara ini perlu membebaskan pemikiran, kedaulatan dan kemanusiaan mereka dari terus dirantai Barisan Nasional jika benar-benar mahu menukar parti pemerintah dalam pilihanraya akan datang.

Rakyat juga perlu bangkit dari kesengsaraan disekat daya menilai sesuatu yang baik dan buruk selama 51 tahun merdeka tanpa sedikitpun menolak nilai-nilai kemanusiaan mereka.

Demikian dijelaskan pegawai tugas-tugas khas keADILan Johor, Nah Budin ketika memberikan penerangan dalam program ceramah Pakatan Rakyat di Bukit Gambir dekat sini baru-baru ini.

“Dalam negara ini, rakyat perlu bertindak membela nasib sendiri kerana parti pemerintah yang dipilih rakyat selepas PRU 12 lalu masih terus menjalankan dasar sama dengan menindas dan menafikan hak rakyat dalam urusan bernegara,” katanya.

Nasib rakyat tidak ubah seperti ayam daging yang diberi makan sekenyang-kenyangnya sebelum mereka disembelih, malah untuk menghadapi pilihanraya lalu rakyat ditaburkan dengan pelbagai janji tetapi setelah memperolehi kuasa nasib rakyat terus dilupakan.

“Kalau parti pemerintah benar-benar jujur janganlah mereka bertindak memberi perahu dan pengayuh kepada rakyat supaya supaya bertarung di gelombang besar tetapi dalam masa sama tali perahu itu terus ditambat di pangkalan,” ucap beliau di majlis yang turut dihadiri YB Salahuddin Ayob, Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Selanjutnya beliau menjelaskan bahawa darjat kemuliaan insan, kebebasan dan hak semua manusia perlu diangkat semula demi masa depan untuk bernegara.

“Tidak timbul soal rakyat mahu menderhaka kepada parti pemerintah tetapi yang dilakukan rakyat hanyalah mempertahankan kedaulatan mereka kerana rakyat telah merasa cukup sengsara akibat tingkah laku yang dilakukan oleh parti berkuasa,” tambah beliau.

Beliau selanjutnya menyeru supaya dalam pilihanraya akan datang rakyat tidak boleh lagi bertindak seumpama menyerah hulu keris kepada parti pemerintah sebab tindakan tersebutlah yang membinasakan mereka selama ini.

“Ketuanan rakyat jangan lagi dihambakan oleh pemerintah kerana kebangkitan rakyat adalah kebangkitan roh kemanusiaan dan tiada siapa mampu menghalangnya,” tambah beliau.

Beliau selanjutnya menjelaskan bahawa KeADILan sentiasa meletakkan rakyat sebagai tuan dan pemimpin parti adalah pekerja maka jika pemimpin melakukan kezaliman maka rakyat berhak menghukum mereka.

“Rakyat perlu menetapkan harga jiwa, keinginan dan tentangan terhadap Barisan Nasional yang dilihat indahnya bersinar tetapi sebenarnya kaca pecah telah berselerak di merata sudut kehidupan,” tambah beliau.