Khamis, 4 Disember 2008

Susulan Bajet Pakatan Rakyat Johor 2


Mempertingkatkan kualiti infrastruktur pengangkutan awam negara dan projek monorel adalah di antara tuntutan Pakatan Rakyat Johor supaya dilaksanakan kerajaan negeri untuk tahun 2009 seperti cadangan bajet yang dikemukakan sempena sidang Dewan Undangan Negeri Johor baru-baru ini.

Pakatan rakyat melihat perkara ini perlu diberi keutamaan memandangkan bandar-bandar besar dan kawasan pesat membangun merupakan zon ekonomi utama yang perlu diberi tumpuan di samping tidak meminggirkan soal pengangkutan awam di pinggir bandar.

Demikian dijelaskan Timbalan Pengerusi Perhubungan KeADILan Johor, Abdul Halim Dawam ketika mengulas cadangan Bajet Prihatin Rakyat yang dibentangkan Pakatan Rakyat Johor baru-baru ini.

“Pakatan Rakyat mendesak supaya ditingkatkan kualiti infrastruktur pengangkutan negeri dengan mengoptimumkan perbelanjaan pembangunan sektor berkenaan dan menjimatkan kos serta mempastikan tender terbuka digunapakai bagi semua projek berkenaan,” kata Halim.

“Kita dapati hampir 1.4 juta penduduk negeri Johor tinggal di bandar dan kawasan membangun tetapi mereka tidak dapat menikmati kemudahan awam yang cekap, mudah diperolehi dan mampu dibiayai,” tambahnya.

Menurut beliau kerajaan negeri wajar bertindak pro-aktif dalam menyelenggara sistem pengangkutan awam bagi mempastikan semua rakyat terutama di pinggir bandar supaya mereka dapat menikmati pengangkutan awam yang lancar dan mampu ditanggung kosnya.

Masalah seperti perjalanan bas yang tidak mengikut jadual dan pengusaha bas yang kurang berminat memasuki kawasan perumahan tertentu kerana tidak mendatangkan keuntungan juga perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

“Kita menekankan perkara ini untuk dilaksanakan pada tahun 2009 kerana menginsafi kesukaran yang ditanggung rakyat akibat kelemahan sistem pengangkutan awam akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi dan sosial negeri ini,” tambahnya.

Justeru melalui bajet ini kerajaan tempatan disaran supaya menyediakan perkhidmatan feeder-bus untuk membawa penumpang dari kawasan perumahan ke perhentian bas.

Menyentuh pembinaan projek monorel Johor Bharu yang diumumkan kerajaan negeri pada 3 Oktober 2005 yang dijangka menelan belanja RM1.2 billion, Pakatan rakyat mencadangkan agar tidak mencontohi projek monorel di Kuala Lumpur yang terbahagi kepada tiga rangkaian iaitu monorel, Star dan Putra.

“Walaupun projek tersebut belum dilaksanakan Pakatan Rakyat mencadangkan supaya projek tersebut disatukan di bawah satu penyelenggaraan yang membawa manfaat kepada pengguna,” jelasnya.

Tiada ulasan: