Khamis, 4 Disember 2008
Susulan Bajet Pakatan Rakyat Johor 1
Satu refomasi dalam bidang pendidikan, kesihatan dan memelihara alam sekitar dicadangkan oleh Pakatan Rakyat Johor bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat menjelang 2009.
Demikian dijelaskan Pengerusi Perhubungan KeADILan Johor, Dr Ahmad Faidi @ Noraini Saidi ketika mengulas bajet prihatin rakyat yang dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada 21 November lalu.
“Biasiswa pendidikan akan diberi kepada pelajar yang menuntut di universiti dalam dan luar negara bagi menggantikan skim pinjaman seperti yang ada sekarang ini malah bagi pelajar yang beragama Islam mereka akan diberi biasiswa melalui tabungan wang zakat negeri bagi menampung menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Menurut beliau sebahagian dari pendapatan zakat sebanyak RM177 juta bagi tahun 2007 akan dimanafaatkan untuk membantu pelajar-pelajar Islam sebagai pelaburan bagi membentuk rakyat yang yang berkualiti dan profesional dalam negara.
Dalam cadangan bajet itu juga, Pakatan Rakyat mencadangkan supaya satu peruntukan yang mencukupi dikeluarkan bagi memperbaiki dan membina kemudahan tambahan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dimilik negerikan Barisan Nasional beberapa tahun lalu.
“Malah kami mencadangkan kepada Dewan Undangan Negeri supaya Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor mengwujudkan kerjasama dengan pusat-pusat pengajian agama Islam ternama dalam dan luar negara bagi membangkitkan kualiti pendidikan Islam dalam negeri ini,” sambung beliau.
Bagi meningkatkan kualiti kesihatan pula Pakatan Rakyat mencadangkan supaya Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan JCorp menyediakan kemudahan perubatan am dan pusat-pusat rawatan dialisis di samping menambah klinik dan hospital wakaf.
“Kami melihat terlalu ramai rakyat negara ini yang tidak mampu membiayai kos rawatan mereka maka adalah perlu supaya cadangan tersebut dilaksanakan kerajaan negeri bagi menampung kekurangan yang ada,” tambah Dr Ahmad Fadhi lagi.
Dalam bajet tersebut juga Pakatan Rakyat turut menyentuh soal kewujudan bangunan terbengkalai yang menjadi punca gejala sosial di bandar-bandar besar seperti Johor Bahru yang dilihat mengancam keselamatan rakyat negeri ini.
Justeru, beliau berharap supaya kerajaan negeri wajar mengenal pasti punca terbengkalai dan mencari jalan penyelesaian projek bangunan seperti bangunan Waterfront City, Kemayan City, Pasific Mall dan Sekudai Plaza kerana pembaziran besar telah dilakukan ketika menguruskan wang rakyat.
“Pakatan Rakyat bimbang kerajaan negeri akan menanggung kehilangan wang rakyat dengan jumlah lebih besar dan keadaan sosial yang bertambah buruk menjadikan kita terpanggil membuat cadangan-cadangan tersebut kepada kerajaan negeri,” jelasnya.