Khamis, 6 November 2008

JALAN UTAMA RUNTUH




Kira-kira 2000 penduduk di Kampung Kesang Tasek dekat Sungai Mati di sini mendakwa keselamatan mereka terancam ketika menggunakan jalan utama Kesang Tasek ke Sungai Rambai, Melaka kerana jalan berkenaan telah mendak kira-kira sedalam semeter sejak 4 tahun lalu.

Penduduk juga mendakwa jalan bukan sahaja mendak tetapi turut bergegar kuat terutama apabila dilalui kenderaan berat dan ini menimbulkan masalah kepada setiap pengguna yang melaluinya.

Tinjauan yang dibuat mendapati jalanraya tersebut dibina di pinggir tasek yang cukup besar keluasannya dan terdapat punca mata air di bawahnya yang menjadi punca utama kemendakan tersebut.

Mengulas keadaan ini, Nah Budin Pegawai Tugas-tugas khas Keadilan Johor / aktivis masyarakat mendesak supaya tindakan segera dilakukan pihak bertanggung jawab kerana dibimbangi akan berlaku kejadian kemalangan serius pengguna jalan yang tidak biasa mengunakannya.

“Saya dimaklumkan jalan ini telah runtuh sejak 4 tahun lalu, tetapi masih tidak dibina semula. Memandangkan ianya terrletak di kawasan yang diwakili Menteri Besar Johor maka sewajarnya beliau mengambil tindakan segera dan menunjukkan komitmen ke arah memulihkan keadaan,” ujarnya.

Menurut beliau lagi kegagalan pihak berwajib memberi perhatian pada masalah rakyat akan menjadikan rakyat bosan dan akhirnya mencari jalan keluar mereka sendiri.

Turut merasa bimbang, Rizal Alias 35 tahun seorang pengguna yang kerap melalui jalan ini atas urusan tugas dan pernah hampir terbabas di kawasan mendapan tersebut,

“Walau pun hanya sebelah laluan yang mendap ia cukup bahaya kepada pengguna kerana terdapat lubang besar di tengah-tengah antara jalan yang mendak dengan yang tidak runtuh” katanya.

‘Tidak sewajarnya jalan ini dibina tanpa laluan air di bawahnya sebab kadar kelembapan tanah yang tinggi ditepi tasek menjadi punca segala masalah yang timbul” tambahnya,

Sementara itu seorang pesawah, Maskiman Samot 59, melahirkan rasa kesal kerana pihak kerajaan tidak mengambil tindakan membaik pulih keadaan yang telah berlarutan sekian lama.
“Cukup sukar untuk kami mengangkut hasil pertanian terutama padi apabila tiba musim menuai.Malahan untuk menghantar kanak-kanak ke sekolah dengan menggunakan motosikal kami perlu cukup berhati-hati supaya tidak terjatuh ke dalam lubang di tengah-tengah jalan,” katanya.