Khamis, 20 November 2008

LAMPU ISYARAT


keADILan Ledang mendesak supaya pihak yang berkenaan segera memperbaiki kemudahan lampu isyarat di pekan Parit Bunga dan sekitarnya yang rosak hingga menganggu lalu lintas dan sering mengakibatkan berlakunya kemalangan jalanraya.

Tinjauan yang dibuat oleh Ketua Zon Utara Johor, Rizal Alias mendapati bukan sahaja ada di antara lampu isyarat itu tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya malahan terdapat lampu isyarat yang telah hilang akibat kemalangan yang berlaku sejak sekian lama tetapi masih tidak diganti baru.

Beliau yang juga Ketua keADILan Ledang melahirkan kebimbangan dengan sistem lampu isyarat yang tidak teratur masanya di hadapan Sekolah Menengah Sains Muar hingga menyebabkan ada di antara pengguna jalanraya menggunakan lencongan di hadapan premis berhampiran bagi mengelak dari terpaksa menunggu terlalu lama.

Lampu isyarat yang telah hilang terletak di persimpangan pekan Parit Bunga sementara lampu isyarat jalan Muar ke Melaka kerap rosak sistemnya hingga menyebabkan berlakunya kemalangan di kawasan berkenaan,” ujar Rizal.

“Banyak kemalangan telah berlaku di kawasan ini kerana ketiadaan lampu isyarat dan sistem lampu isyarat yang rosak. Ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana kawasan ini terletak dibawah DUN yang diwakili Menteri Besar Johor,” kata Rizal.

“Tindakan pengguna jalanraya memotong laluan melalui lencongan dan ketiadaan gantian lampu isyarat yang hilang telah menganggu dan mengancam keselamatan pengguna jalanraya,” tambah beliau.

Beliau selanjutnya mendesak supaya sistem lampu isyarat yang rosak ini diperbaiki dan lampu isyarat yang telah sekian lama hilang di Pekan Parit Bunga disegerakan pembinaannya bagi melancarkan sistem lalu lintas di kawasan terlibat.

“Kita tidak mahu melihat adanya kehilangan nyawa lagi akibat kemalangan jalanraya disebabkan sistem lampu isyarat yang tidak berfungsi dan ini akan mengakibatkan kawasan yang diwakili Menteri Besar menjadi tidak terurus seperti mana sepatutnya,” tambah beliau.