Khamis, 13 November 2008

Bangsa Bukan Pemisah











SEGAMAT: Perbezaan warna kulit, bangsa dan agama bukanlah satu perkara yang boleh menghalang rakyat negara ini dari bersatu dalam sebuah parti politik untuk menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang.

Demikian dijelaskan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas KeADILan Johor Nah Budin yang mewakili Pengerusi Perhubungan Negeri semasa berucap dalam satu majlis penerangan parti kepada masyarakat Cina dan India di bandar Segamat baru-baru ini.

“Rakyat berbilang kaum dan agama perlu disatukan dalam sebuah parti kerana zaman pecah perintah yang dilakukan oleh Barisan Nasional selama ini telah mengakibatkan rakyat berpecah mengikut kehendak masing-masing,” ujarnya .

Beliau yang juga merupakan bekas calon KeADILan Parlimen Muar dalam pilihanraya ke-12 melahirkan keyakinan bahawa dengan gabungan tenaga rakyat berbilang kaum akan mampu menyekat akta-akta zalim yang dilakukan pemerintah selama ini.

“Rakyat telah cukup menderita di bawah pimpinan Barisan Nasional sejak 51 tahun lalu apabila mereka dipecahkan mengikut bangsa masing-masing. Orang Melayu di kampung, Cina di bandar dan India di estet,” tambah beliau lagi.

Majlis yang turut dihadiri Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Bon Chai dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menjadi semakin hangat apabila hadirin diberi peluang untuk berdialog dengan pemimpin parti.

“Pandangan dan masalah rakyat perlu diambil kira. Kita perlu meletakkan rakyat sebagai tuan kepada negara. Masalah yang dihadapi rakyat adalah masalah negara. Seandainya pemimpin tidak mengambil indah masalah rakyat maka bukan mustahil mereka akan diketepikan rakyat akhirnya,” ujar beliau .
Dalam majlis sama juga angkatan muda telah berjaya diwujudkan dengan meletakkan saudara Lee Kok Seng sebagai ketua AMK bahagian Sekijang yang bertaraf sebagai penaja.