Khamis, 20 November 2008

BURUK SANGKA DAN KASIH SAYANG




KLUANG: Ahli keADILan Rakyat disaran supaya menjauhi sikap buruk sangka dan cubaan menjatuhkan mana-mana pihak dalam parti jika sekiranya mahu melihat parti diperhebatkan sebagai kerajaan di masa akan datang.

Sikap buruk sangka akan mengakibatkan hancurnya kekuatan dan meletakkan maruah pemimpin dan penyokong parti ke tahap rendah hingga akhirnya mengkucar-kacirkan keadaan dan menimbulkan kerugian pada perjuangan rakyat.

Demikian dijelaskan oleh Pengerusi Perhubungan keADILan Rakyat Johor Dr Fadhi @ Noraini Saidi semasa berucap di Bengkel Motivasi Kepimpinan kepada Ketua-ketua Bahagian keADILan negeri Johor di Kluang pada 16 November 2008 lalu.

“Kasih sayang adalah nilai yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia. Kasih sayang jugalah yang menjadi kekuatan untuk mana-mana kehidupan menjadi bermakna dan mulia,” katanya.

Menurut beliau, hanya dengan bercita-cita besar sahaja tidak boleh meletakkan seseorang sebagai pemimpin berwibawa jika nilai kasih sayang dibuang dan buruk sangka disebarkan dengan tujuan menjatuhkan pemimpin lain.

Pemimpin bahagian perlu menyusun langkah teratur dan menunjukkan ciri-ciri kepimpinan baik bagi membolehkan wujudnya rasa hormat di kalangan pengikut.

“Kita dilahirkan dengan perbezaan yang cukup nyata. Ada kelebihan dan kekurangan, jangan kerana kekurangan seseorang kita buruk sangka padanya dan jangan kerana kelebihan yang ada pada kita, maka kita burukkan orang lain,” sambungnya.

Beliau juga menyarrankan agar setiap pergerakan dalam parti perlu dimula dengan titik tolak yang suci dan bersih yang menjadi cermin sebenar mana-mana pemimpin negeri.

“Sejarah khalifah Islam Khalid Al-Walid, dapat menawan kota Parsi yang di kelilingi tasik dan tembok kerana dasar kasih sayang dan menolak buruk sangka. Malah dengan niat suci dan bersihlah akhirnya kerajaan Parsi jatuh kepada Khalifah Islam,” ujarnya.