Rabu, 26 November 2008

Kopratasa

Terlebeh dulu kwe mengucapkan terima kasih daun keladi kpd PKR Bahagian Ledang kerna membenarkan kwe kondem wat catatan/apa2 hal dalam blog ni.
Kwe bukan nak kondem tak tentu pasal tentang isu2 dalam parti atau luo parti, kalu de yang terasa/merase, ketahuilah yg kwe tak berniat langsung nak wat cam tu tapi kalu ianya berlaku...maaf zahir batin je lah ye. :-D
Kepada pihak bahagian, jgn terase lak kalu kwe wat yg tak senonoh dlm blog ni tapi tak lah cam tu jadinye...hehehehe.
...tq.

skubi@ledang...2008/11/27

Salam Reformasi

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Parti keADILan Rakyat Bahagian Ledang atas memberi kebenaran kepada saya menulis didalam blog bahagian.
Terlebih dahulu saya memaklumkan kepada semua ahli-ahli keADIlan Rakyat di seluruh negara khasnya keADILan Rakyat Negeri Johor agar berfikiran positif atas setiap perkara yang dibincangkan sama ada kritikan atau sebagainya.
Sekian.


Salleh Ibrahim.

Khamis, 20 November 2008

Parit Oh Parit




KeADILan Rakyat Zon Utara mengesa pihak yang bertanggungjawab supaya menumpukan perhatian kepada sistem saliran dan peparitan Parlimen Muar agar diselenggara dengan segera memandangkan negeri akan menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.

Desakan ini dilakukan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Parti keadilan Rakyat Negeri Johor Nah Budin kerana dari tinjauannya ke beberapa kampung di kawasan DUN Sg. Balang dalam Parlimen Muar mendapati sistem perparitan yang sediada tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya.

Menurut beliau kebanyakan parit kawasan benteng di DUN Sg. Balang di penuhi rumput- rampai hingga mengakibatkan aliran air tersekat dan tidak dapat mengalir dengan lancar.

“Kita bimbang, bila hujan lebat, maka banjir akan berlaku serta menimbulkan masalah kepada penduduk,” katanya.

Beliau yang juga bekas calon keADILan Parlimen Muar memberitahu telah dua tahun berturut-turut DUN Sg. Balang dilanda banjir dan yang terakhir berlaku pada hujung Ogos lalu.

Apabila setiap kali banjir, sumber pertanian akan musnah. Petani, pekebun kelapa sawit dan mereka yang mengerjakan tanah sendiri akan kehilangan pendapatan.

“Sudahlah harga barang pertanian jatuh, kelapa sawit melawas dan serangan penyakit pada sebahagian tanaman petani, sekarang musim hujan pula. Jadi bagaimana penduduk mahu memakmorkan ekonomi mereka?” soalnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya parti pemerintah mencari satu formula untuk menyelesaikan masalah ini kerana tidak ada ruginya menambah sedikit peruntukan untuk menyelesaikan soal perparitan berbanding kerugian yang terpaksa ditanggung oleh rakyat terbabit.

Katanya lagi, rakyat mahu melihat satu perubahan lebih baik berlaku dalam Parlimen Muar selepas pilihanraya lalu. Sekiranya keadaan menjadi semakin buruk maka sia-sia sahaja kuasa yang diberi rakyat selama ini.

“Kalau soal kemudahan beginipun pemerintah tidak mampu melaksanakan, apalah maknanya undi dan kuasa yang diberi kepada mereka?” soalnya lagi.

BURUK SANGKA DAN KASIH SAYANG




KLUANG: Ahli keADILan Rakyat disaran supaya menjauhi sikap buruk sangka dan cubaan menjatuhkan mana-mana pihak dalam parti jika sekiranya mahu melihat parti diperhebatkan sebagai kerajaan di masa akan datang.

Sikap buruk sangka akan mengakibatkan hancurnya kekuatan dan meletakkan maruah pemimpin dan penyokong parti ke tahap rendah hingga akhirnya mengkucar-kacirkan keadaan dan menimbulkan kerugian pada perjuangan rakyat.

Demikian dijelaskan oleh Pengerusi Perhubungan keADILan Rakyat Johor Dr Fadhi @ Noraini Saidi semasa berucap di Bengkel Motivasi Kepimpinan kepada Ketua-ketua Bahagian keADILan negeri Johor di Kluang pada 16 November 2008 lalu.

“Kasih sayang adalah nilai yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia. Kasih sayang jugalah yang menjadi kekuatan untuk mana-mana kehidupan menjadi bermakna dan mulia,” katanya.

Menurut beliau, hanya dengan bercita-cita besar sahaja tidak boleh meletakkan seseorang sebagai pemimpin berwibawa jika nilai kasih sayang dibuang dan buruk sangka disebarkan dengan tujuan menjatuhkan pemimpin lain.

Pemimpin bahagian perlu menyusun langkah teratur dan menunjukkan ciri-ciri kepimpinan baik bagi membolehkan wujudnya rasa hormat di kalangan pengikut.

“Kita dilahirkan dengan perbezaan yang cukup nyata. Ada kelebihan dan kekurangan, jangan kerana kekurangan seseorang kita buruk sangka padanya dan jangan kerana kelebihan yang ada pada kita, maka kita burukkan orang lain,” sambungnya.

Beliau juga menyarrankan agar setiap pergerakan dalam parti perlu dimula dengan titik tolak yang suci dan bersih yang menjadi cermin sebenar mana-mana pemimpin negeri.

“Sejarah khalifah Islam Khalid Al-Walid, dapat menawan kota Parsi yang di kelilingi tasik dan tembok kerana dasar kasih sayang dan menolak buruk sangka. Malah dengan niat suci dan bersihlah akhirnya kerajaan Parsi jatuh kepada Khalifah Islam,” ujarnya.

HURAIAN BAJET / HALIM DAWAM


KLUANG: Pakatan Rakyat Johor mencadangkan supaya Projek Perumahan Rakyat (PPR) dijual kepada penyewanya melalui pengeluaran Hak Milik Serata bagi mengantikan konsep sewaan dengan kadar RM124 sebulan bagi meringankan bebanan rakyat miskin di negeri Johor.

Demikian ditegaskan Timbalan Pengerusi Perhubungan KeADILan Johor, Halim Dawam ketika diminta mengulas cadangan bajet Pakatan Rakyat Johor yang dibentangkan pada 21 November ini.

“Kami juga mencadangkan supaya kaedah “sewa beli” diguna-pakai bagi mengantikan dasar sekarang kerana ini akan membantu penyewa rumah untuk memperolehi kediaman memandangkan golongan berpendapatan rendah ini tidak mampu membuat pinjaman dari pihak bank,” Jelas Halim .

Memandangkan golongan berpendapatan rendah ini tidak mampu membuat pinjaman di institusi kewangan, Pakatan Rakyat Johor mencadangkan supaya sewa beli digunapakai bagi mengantikan dasar sekarang yang menjadikan mereka hanya sebagai penyewa rumah yang boleh diarah berpindah pada bila-bila masa,” tambah Halim .

Halim juga menegaskan, melalui bajet ini kerajaan negeri wajar menyediakan dana dalam bentuk kos penyelengaraan untuk kerja-kerja pembersihkan kawasan, lif, kebocoran dan seumpama dengannya bagi membantu meringankan bebanan penduduk di rumah kos rendah bertingkat.

“Pembinaan rumah kos rendah hendaklah diberi kepada Johor Corpration (JCorp) memandangkan syarikat kerajaan negeri mendapat sumber tanah pada kos minima oleh kerajaan negeri. Jika projek berkenaan diberi kepada pihak swasta ia tidak akan menguntungkan kerana pihak swasta perlu menanggung kos tanah yang tinggi”.

Sehubungan dengan itu Pakatan Rakyat mencadangkan dalam bajet 2009 ini supaya pembinaan rumah kos rendah ini diberi kepada pihak JCorp bagi memudahkan keadaan.

“Sekiranya diberi kepada pihak swasta pasti tidak menguntungkan kerana swasta perlu membayar harga kos tanah yang tinggi untuk tujuan tersebut,” sambung beliau.

Menurut Halim lagi Pakatan Rakyat mencadangkan supaya Majlis Agama Islam Johor menjadi antara agensi kerajaan yang akan memanfaatkan wang kutipan zakat berjumlah RM177 juta ( 2007) khusus untuk membina dan membaikpulih rumah sediada rakyat miskin.

“Malahan kami bersetuju dengan perlaksanaan projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membantu golongan miskin tegar. Ini kerana di Johor terdapat sejumlah 4,772 mereka yang miskin tegar.Tetapi setakat ini kerajaan hanya membaikk pulih 700 buah rumah sahaja dengan kos RM5.6 juta” tambah beliau.

Selain itu Pakatan Rakyat Johor juga melihat perlunya ada “dana pinjaman mudah” kepada kontraktor kecil dan sederhana untuk urusan sektor pembinaan supaya tidak menghadapi masalah aliran tunai yang terhad.

BAJET PRIHATIN RAKYAT


JOHOR BAHRU: Pakatan Rakyat Negeri Johor akan mengemukakan satu cadangan bajet Prihatin Rakyat semasa sidang Dewan Undangan Negeri Johor bersidang pada 21 November ini.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Johor Dr. Noraini @ Ahmad Fadhi Saidi semasa sidang akhbar Pakatan Rakyat Johor di Hotel Naza Johor Bahru baru-baru ini.

Bajet Pakatan Rakyat yang bertemakan “Prihatin Rakyat” ini mengandungi empat strategi utama yang melibatkan pengurusan kewangan negeri dengan cara yang lebih prihatin serta akan menurunkan kadar defisit negeri ketika ekonomi global sedang menguncup sekarang.

Empat strategi utama ditekankan Pakatan Rakyat Johor ketika sidang Dewan merangkumi perkara berikut :

1. Mengurangkan perbelanjaan kerajaan negeri (Perbelanjaan berhemah )
2. Memberi fokus kepada masalah perumahan, pendidikan, pengangkutan awam, keselamatan, kesihatan dan alam sekitar
3. Meningkatkan hasil pendapatan kerajaan negeri
4. Meningkatkan kualiti hidup rakyat

“Kami melihat perkara tersebut sebagai wajib dilaksanakan bagi memberi nafas lega kepada seluruh rakyat yang terpaksa menanggung beban akibat kemelesetan ekonomi global yang kesannya ditanggung Negara,” katanya.

Menurut beliau pendapatan kerajaan negeri dijangka menurun sebanyak RM37.395 juta (5%) menjadi RM710.505 juta berbanding bajet 2008 sebanyak RM747.9 juta akibat kejatuhan harga komoditi dan kemelesetan ekonomi.

Defisit (hutang ) terpaksa ditanggung rakyat sekiranya kerajaan negeri terus melaksanakan bajet mereka kerana ketika ini pendapatan negeri telah jatuh. Jika pendapatan rendah bagaimana kita mahu berbelanja lebih kecuali dengan berhutang?” soalnya.

“Maka sebab itulah kami mencadangkan supaya perbelanjaan pengurusan kerajaan dikurangkan sebanyak 5% agar defisit turun kepada RM1.938 juta (0.2 %) berbanding defisiot bajet 2006 yang jumlahnya RM2.04 juta,” tambah beliau.

Penyaluran perbelanjaan pembangunan negeri ke sektor yang pro aktif juga dititik-beratkan di dalam bajet pakatan rakyat supaya ia memberi kesan ekonomi berganda kepada Johor.

“Pakatan Rakyat tidak mahu negeri johor dijerumuskan ke krisis ekonomi yang lebih besar lagi selepas ini sebab itu rakyat perlu bersama kami membina semula ekonomi negeri terutama ketika merudumnya ekonomi dunia,” tegas beliau .

MELAYU?

Bapakku bermata sepet, kulit putih dan hidung mancung.
Ibu pulak, gelap…hidung kemek tapi mata besar.
Hari ni kat Malaysia orang panggil aku MELAYU.

Jiran sebelah rumah bersuamikan sah-sah
penganut Hindu yang peluk Islam
anak-anaknya pun dipanggil MELAYU.

Sorang lagi beribukan Cina masuk Islam.
Kulitnya putih gebu, nak sebut Cina dia malu.
Nak tak nak jadi MELAYU.

Apalah gaknya lebih pada nama MELAYU
Aku pun tak tahu?
Aku tengok sekarang yang sibuk kata dirinya MELAYU
suka sangat makan capati dan yong tau fu
Kadang-kadang tu ala-ala Mat Saleh,
Speggati dan Piza nak ditelan…
tapi aku tak lalu.

Kalu sebut pasal baju, lagilah tak tahu malu.
Kata MELAYU tapi perangai macam ulat BULU.
Dedah sana bukak sini
Inikah generasi MELAYU dah mula hilang arah tuju.

Kawin campur mesti mengaku MELAYU
Sampai-sampai Halimah Sadiq pun mengaku MELAYU
Aku jadi tak tahu
Kenapa semua ini berlaku
Datuk nenek dulu tak beri tahu…bimbang malu
Maklumlah sorang dari timur sorang dari barat.
Jumpa kat SEMENANJUNG TANAH MELAYU.

Susahnya hidup orang macam aku
Nak cakap dengan orang…takut malu
Tak mengaku lagilah haru
Orang keliling semua dah tahu
Tup-tup kena mengaku MELAYU.

MCA Cina, MIC India, umNO MELAYU
Kat mana orang macam aku nak tuju
Yang mata sepet datang dari tanah besar nenek ku
Yang hidung mancung kulit gelap datang dari India datuk ku
Tak ke laku bila kita dipanggil MELAYU

Cakap Jawa, cakap Bugis, cakap Banjar semuanya MELAYU
Yang Daeng, yang Raden pun MELAYU macam manalah nasib bangsa ku
Akhirnya dijadikan kayu sebab tak kenal suku
Tiba-tiba terus masuk MELAYU


Altantuya kita tak tahu
Sebab negerinya tengah-tengah dunia tu
Sebelah India sebelah Cina yang satu
Tahu-tahu mati kat negaraku
Tapi orang tak panggil dia MELAYU.

Alahailah pemerintah negaraku
Hina sangatkah kalu tak jadi MELAYU
Apalah nasib orang macam aku
umNO memang tak laku
MCA dan MIC aku tak mahu
keADILan jugalah tempat dituju.

skubi/2008………

LAMPU ISYARAT


keADILan Ledang mendesak supaya pihak yang berkenaan segera memperbaiki kemudahan lampu isyarat di pekan Parit Bunga dan sekitarnya yang rosak hingga menganggu lalu lintas dan sering mengakibatkan berlakunya kemalangan jalanraya.

Tinjauan yang dibuat oleh Ketua Zon Utara Johor, Rizal Alias mendapati bukan sahaja ada di antara lampu isyarat itu tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya malahan terdapat lampu isyarat yang telah hilang akibat kemalangan yang berlaku sejak sekian lama tetapi masih tidak diganti baru.

Beliau yang juga Ketua keADILan Ledang melahirkan kebimbangan dengan sistem lampu isyarat yang tidak teratur masanya di hadapan Sekolah Menengah Sains Muar hingga menyebabkan ada di antara pengguna jalanraya menggunakan lencongan di hadapan premis berhampiran bagi mengelak dari terpaksa menunggu terlalu lama.

Lampu isyarat yang telah hilang terletak di persimpangan pekan Parit Bunga sementara lampu isyarat jalan Muar ke Melaka kerap rosak sistemnya hingga menyebabkan berlakunya kemalangan di kawasan berkenaan,” ujar Rizal.

“Banyak kemalangan telah berlaku di kawasan ini kerana ketiadaan lampu isyarat dan sistem lampu isyarat yang rosak. Ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana kawasan ini terletak dibawah DUN yang diwakili Menteri Besar Johor,” kata Rizal.

“Tindakan pengguna jalanraya memotong laluan melalui lencongan dan ketiadaan gantian lampu isyarat yang hilang telah menganggu dan mengancam keselamatan pengguna jalanraya,” tambah beliau.

Beliau selanjutnya mendesak supaya sistem lampu isyarat yang rosak ini diperbaiki dan lampu isyarat yang telah sekian lama hilang di Pekan Parit Bunga disegerakan pembinaannya bagi melancarkan sistem lalu lintas di kawasan terlibat.

“Kita tidak mahu melihat adanya kehilangan nyawa lagi akibat kemalangan jalanraya disebabkan sistem lampu isyarat yang tidak berfungsi dan ini akan mengakibatkan kawasan yang diwakili Menteri Besar menjadi tidak terurus seperti mana sepatutnya,” tambah beliau.

Khamis, 13 November 2008

KEMPEN TANDATANGAN BANTAHAN ISA




Angkatan Muda keADILan Ledang dan Bakri telah menghadiri program kempen memungut tandatangan penduduk bagi menentang akta ISA yang dilaksanakan parti pemerintah di Tanjung Emas dekat bandar Maharani baru-baru ini.

Sambutan mengalakkan diterima dari penduduk pelbagai lapisan masyarakat tanpa sedikitpun rasa takut walau pun pihak polis dan FRU berada menganggu program yang dianjurkan bersama oleh Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Ahli Parlimen Bakri Err Tek Hua.

“Lebih seribu tandatangan dapat dikumpulkan dalam masa sejam program dilaksanakan tanpa sedikit pun rasa bimbang oleh penduduk daerah Muar yang hadir dari jam 10 hingga 11 pagi. Malah ada di antara mereka yang meminta kempen seperti ini dilakukan dengan lebih kerap lagi terutama dikawasan yang menjadi tumpuan penduduk berkumpul seperti di pasar malam atau sebagainya,” kata Ketua AMK Zon Utara Mohamad Azam Basri .

Sementara itu seorang penduduk yang menurunkan tandatangannya bagi menunjukkan penentangan beliau terhadap akta ISA. Salleh Ibrahim menyifatkan tindakan Pakatan Rakyat melaksanakan program ini adalah sesuatu yang cukup baik dan perlu mendapat sokongan penuh dari rakyat.
“Mungkin hari ini kita tidak dipenjarakan dibawah akta zalim ini, tetapi apa perasaan kita seandainya satu masa nanti kita dijadikan mangsa Barisan Nasional pada kesalahan yang tidak kita lakukan atau kerana kita mempertahankan hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi,” kata Salleh Ibrahim.

Pembantu Rumah Bawah Umur


Pegawai Tugas-tugas Khas KeADILan Johor Nah Budin kesal dengan tindakan kerajaan yang mengizinkan mereka di bawah umur berkerja di negara ini samada secara sah ataupun diseludup pihak tertentu hingga menimbulkan masalah yang cukup membimbangkan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 16 tahun yang menghadapi tuduhan membunuh seorang nenek Miyati Bakri 69 di Kuantan baru-baru ini.

Satu akta yang ketat dan lebih berperikemanusiaan perlu diwujudkan terutama yang melibatkan pekerja asing untuk dijadikan pembantu rumah. Janganlah mereka yang terlalu muda usianya dijadikan pekerja. Pendatang juga manusia seperti kita. Faktor umur perlu dititik-beratkan jangan sampai mereka di bawah umur dijadikan mangsa semata-mata untuk kepentingan kita.

“Bayangkan bagaimana remaja yang sepatutnya berada di bangku sekolah terpaksa bekerja dan berada jauh dari perlindungan keluarga. Mereka ini masih terlalu awal untuk dibiarkan berkerja, apa lagi memikul tugas-tugas sebagai pembantu rumah.” katanya ketika diminta mengulas kejadian tersebut.

Menurut beliau tindakan keluarga angkat remaja Indonesia tersebut juga dikira tidak bertanggungjawab kerana sanggup menyerahkan mereka yang dibawah umur dan berada di bawah perlindungan mereka untuk dijadikan pembantu rumah.

Selanjutnya beliau menjelaskan bahawa tekanan kehidupan sebagai pembantu rumah dan pekerja di bawah umur mungkin menjadi titik tolak kejadian tidak diingini. Emosi mereka pasti terganggu bila terpaksa melakukan kerja yang tidak sepatutnya dipikul remaja.

“Bagaimana jika yang dijadikan pembantu rumah di usia 16 tahun itu nanti adalah anak-anak kita? Apakah kita rela anak-anak kita diperlakukan demikian ? soalnya.

“Bagi saya tidak adil jika remaja tersebut terpaksa menghadapi hukuman berat yang melibatkan nyawa kerana mereka yang menjerumuskannya ke kancah tersebut adalah mereka yang dewasa, bukan atas kehendaknya sendiri .” tambahnya.

Akhirnya beliau mengharap supaya kes ini diteliti dari berbagai sudut supaya tidak ada pihak menjadi mangsa dan kita menjatuhkan hukuman bukan pada tempat yang sepatutnya.

Bangsa Bukan Pemisah











SEGAMAT: Perbezaan warna kulit, bangsa dan agama bukanlah satu perkara yang boleh menghalang rakyat negara ini dari bersatu dalam sebuah parti politik untuk menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang.

Demikian dijelaskan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas KeADILan Johor Nah Budin yang mewakili Pengerusi Perhubungan Negeri semasa berucap dalam satu majlis penerangan parti kepada masyarakat Cina dan India di bandar Segamat baru-baru ini.

“Rakyat berbilang kaum dan agama perlu disatukan dalam sebuah parti kerana zaman pecah perintah yang dilakukan oleh Barisan Nasional selama ini telah mengakibatkan rakyat berpecah mengikut kehendak masing-masing,” ujarnya .

Beliau yang juga merupakan bekas calon KeADILan Parlimen Muar dalam pilihanraya ke-12 melahirkan keyakinan bahawa dengan gabungan tenaga rakyat berbilang kaum akan mampu menyekat akta-akta zalim yang dilakukan pemerintah selama ini.

“Rakyat telah cukup menderita di bawah pimpinan Barisan Nasional sejak 51 tahun lalu apabila mereka dipecahkan mengikut bangsa masing-masing. Orang Melayu di kampung, Cina di bandar dan India di estet,” tambah beliau lagi.

Majlis yang turut dihadiri Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Bon Chai dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menjadi semakin hangat apabila hadirin diberi peluang untuk berdialog dengan pemimpin parti.

“Pandangan dan masalah rakyat perlu diambil kira. Kita perlu meletakkan rakyat sebagai tuan kepada negara. Masalah yang dihadapi rakyat adalah masalah negara. Seandainya pemimpin tidak mengambil indah masalah rakyat maka bukan mustahil mereka akan diketepikan rakyat akhirnya,” ujar beliau .
Dalam majlis sama juga angkatan muda telah berjaya diwujudkan dengan meletakkan saudara Lee Kok Seng sebagai ketua AMK bahagian Sekijang yang bertaraf sebagai penaja.

Khamis, 6 November 2008

JALAN UTAMA RUNTUH




Kira-kira 2000 penduduk di Kampung Kesang Tasek dekat Sungai Mati di sini mendakwa keselamatan mereka terancam ketika menggunakan jalan utama Kesang Tasek ke Sungai Rambai, Melaka kerana jalan berkenaan telah mendak kira-kira sedalam semeter sejak 4 tahun lalu.

Penduduk juga mendakwa jalan bukan sahaja mendak tetapi turut bergegar kuat terutama apabila dilalui kenderaan berat dan ini menimbulkan masalah kepada setiap pengguna yang melaluinya.

Tinjauan yang dibuat mendapati jalanraya tersebut dibina di pinggir tasek yang cukup besar keluasannya dan terdapat punca mata air di bawahnya yang menjadi punca utama kemendakan tersebut.

Mengulas keadaan ini, Nah Budin Pegawai Tugas-tugas khas Keadilan Johor / aktivis masyarakat mendesak supaya tindakan segera dilakukan pihak bertanggung jawab kerana dibimbangi akan berlaku kejadian kemalangan serius pengguna jalan yang tidak biasa mengunakannya.

“Saya dimaklumkan jalan ini telah runtuh sejak 4 tahun lalu, tetapi masih tidak dibina semula. Memandangkan ianya terrletak di kawasan yang diwakili Menteri Besar Johor maka sewajarnya beliau mengambil tindakan segera dan menunjukkan komitmen ke arah memulihkan keadaan,” ujarnya.

Menurut beliau lagi kegagalan pihak berwajib memberi perhatian pada masalah rakyat akan menjadikan rakyat bosan dan akhirnya mencari jalan keluar mereka sendiri.

Turut merasa bimbang, Rizal Alias 35 tahun seorang pengguna yang kerap melalui jalan ini atas urusan tugas dan pernah hampir terbabas di kawasan mendapan tersebut,

“Walau pun hanya sebelah laluan yang mendap ia cukup bahaya kepada pengguna kerana terdapat lubang besar di tengah-tengah antara jalan yang mendak dengan yang tidak runtuh” katanya.

‘Tidak sewajarnya jalan ini dibina tanpa laluan air di bawahnya sebab kadar kelembapan tanah yang tinggi ditepi tasek menjadi punca segala masalah yang timbul” tambahnya,

Sementara itu seorang pesawah, Maskiman Samot 59, melahirkan rasa kesal kerana pihak kerajaan tidak mengambil tindakan membaik pulih keadaan yang telah berlarutan sekian lama.
“Cukup sukar untuk kami mengangkut hasil pertanian terutama padi apabila tiba musim menuai.Malahan untuk menghantar kanak-kanak ke sekolah dengan menggunakan motosikal kami perlu cukup berhati-hati supaya tidak terjatuh ke dalam lubang di tengah-tengah jalan,” katanya.

NAJIB & BAJET 2009

Tuduhan menteri kewangan, Najib Razak terhadap ahli parlimen pembangkang sebagai konstraktif dan tidak bertanggung jawab apabila mereka meninggalkan dewan rakyat beberapa hari lalu ketika pembentangan tambahan bajet 2009 oleh beliau sebagai sesuatu yang melucukan.

Timbalan Perdana menteri itu seolah-olah tidak faham bahawa tindakan keluar dewan oleh anggota pembangkang adalah sebagai suara bantahan mereka terhadap sesuatu perkara yang dibincangkan didalam dewan rakyat dan ini dibenarkan oleh peraturan mesyuarat di dewan rakyat.

Jika pembangkang dituduh tidak bertanggung jawab meninggalkan dewan, apakah beliau dan ramai lagi menteri yang langsung tidak hadir ke mesyuarat dewan rakyat sebelum ini ketika Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim membentangkan hujah berkaitan bajet 2009 itu sebagai bertanggung jawab?

Tindakan ahli parlimen pembangkang keluar dewan sebenarnya cukup memalukan Menteri Kewangan. Rakyat dapat melihat bagaimana tidak berkreditbilitinya Najib ketika itu. Najib yang berangan-angan membawa bulan ke riba rakyat akhirnya terpaksa mengaku bahawa bukan saja bulan tidak tiba malah malam terus gelita.

Sebagai rakyat biasa saya melihat usaha terbaru Menteri Kewangan untuk membina ekonomi negara melalui tambahan perancangan dalam bajet adalah sesuatu yang mencurigakan. Ekonomi dunia telah runtuh bagaimana Najib begitu gah beretika beliau mampu melaksanakan agenda ekonomi baru negara.

Dari manakah negara mahu dapatkan sumber kewangan yang sukup besar untuk bajet 2009? Bukankah harga minyak telah jatuh, bukankah harga hasil pertanian cukup rendah sekarang ini. Lihatlah sendiri keadaan ini.Rakyat cukup muak dengan janji- janji selama ini.

Kita cukup bimbang dengan angka-angka yang disebutkan. Semuanya berbilion-bilion tetapi hakikatnya rakyat terus derita, negara menjadi terus sengsara.

Mungkin rakyat di kampung-kampung cukup terlena dengan angka yang disebutkan. Tetapi mereka juga pelik tentang nasib mereka yang terus tidak berubah. Harga barang keperluan terus mahal dan kos sara hidup terus menjerut diri mereka . Rakyat terus derita dan tidak pernah boleh lena sekarang, kehidupan mereka terus ke arah lantai.

Alahai menteri kewangan, janganlah kamu terus menggula-gulakan rakyat dengan pelbagai projek untuk mengubah nasib rakyat. Nampaknya rakyat Malaysia perlu terus susah dan perlu mengubah nasib sendiri sekarang ini. Kuasa yang diberi kepada kamu telah menjerat leher rakyat seperti kami.

Tetapi tidak mengapalah, rakyat cukup sedar bahawa hidup ini seperti roda. Tiba masanya menteri akan hilang kuasa juga. Masa itu kalau pengayuh baru di tangan, rakyat seperti kami telah sampai ke seberang. Menteri Kewangan jangan sesekali menendang landak, bimbang duri-duri tajam akan mencucuk kaki. AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG JANGAN DIPERLEKEHKAN KELAK BARISAN NASIONAL AKAN RUGI MEMANJANG. . – Nah Budin

RUNTUH! RUNTUH! RUNTUH!

Apalah malang dan di mana silapnya nasib rakyat Malaysia hari ini apabila Dewan Rakyat dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Syed Hamid Albar terdapat seramai 257,411 bayi yang dilahirkan tanpa nama bapa yang sah sejak 8 tahun lalu.

Apakah kerana permodenan dan pembangunan insan yang tidak terancang serta kehidupan rakyat yang meninggalkan lunas-lunas beragama maka menjadikan negara melahirkan kumpulan manusia bobrok walau pun ada diantara mereka yang terlibat itu berkedudukan dan berkelulusan tinggi.

Bila perkara ini berleluasa, siapakah pula yang harus dipersalahkan? Itulah yang harus dihuraikan. Tidak mungkin ada ibu bapa yang mengalakkan anak-anak mereka berkelakuan sumbang hingga melahirkan anak-anak tidak sah taraf yang akhirnya meruntuhkan moral sendiri. Tekanan hidup moden dan runtuhnya kekuatan beragama bagi setiap bangsa yang diasaskan oleh dasar keterbukaan negara di bawah Barisan Nasional adalah sebenarnya menjadi punca kepada masalah yang kita bincangkan sekarang.

Di manakah peranan pemimpin-pemimpin Islam Hadari dalam soal ini. Bukankah apabila segala budaya asing dikembang-biakkan di negara ini, segala macam pesta digalakkan maka rakyat akan mengambil bahagian secara aktif di dalamnya. Rakyat akan menjadi lebih seronok berada di luar rumah dan berada di luar kawalan keluarga. Remaja lebih senang dan seronok berada di lingkungan hiburan dari terus merencana kehidupan bermakna bersama keluarga. Sebenarnya inilah punca segala masalah yang menimpa. Pemerintah jugalah yang harus dipersalahkan kerana rakyat negara ini berada di bawah lindungan mereka.

Persoalannya apakah yang akan terjadi pada anak-anak yang tidak sah taraf ini apabila mereka meningkat dewasa? Tidakkah mereka akan menjadi kumpulan manusia yang kecewa dan menghukum diri setelah mengetahui identiti tidak jelas yang dihadiahkan ibubapa sendiri.

Lebih malang lagi akibat keruntuhan moral hari ini akan menghadiahkan kepada negara dengan bakal-bakal pemimpin yang tidak diketahui asal usulnya. Malahan dengan berleluasanya soal kelahiran anak-anak tidak sah taraf ini akan mengakibatkan berlaku perkhawinan adik-beradik genetik pada satu masa akan datang. Inilah kegilaan hidup yang ditanggung rakyat sekarang.

Bagaimana pun anak-anak tidak sah taraf ini tidak berdosa tetapi dalam masyarakat kita pastinya mereka ini dipandang hina dan diberi gelaran tertentu yang akan menjadi keaiban mutlak mereka.

Bagaimana nanti apabila mereka mengetahui nama mereka tidak dibin dan dibintikan dengan nama bapa yang memelihara mereka. Apakah salah jika mereka mempersoalkan hal ini kepada penjaga mereka? Siapakah diantara kita yang sanggup membela jiwa dan perasaan golongan anak-anak tidak sah taraf ini apabila mereka dewasa kelak?
Ingatlah wahai pemimpin negara, sesungguhnya di tangan kamu telah diamanahkan Allah untuk menjaga dan melindungi rakyat dalam negara. Jangan kamu hanya melaung-laungkan soal beretika kepada rakyat, tetapi kamulah terlebih dahulu perlu beretika yang berasaskan pada ilmu dan amalan yang berpaut pada agama. Jika etika dan moral pemimpin negara runtuh maka hancurlah moral rakyat seumpama kata pepatah “BAGAIMANA ACUAN BEGITULAH KUIHNYA.“ - SKI

Isnin, 3 November 2008

Malam Muhibbah Deepavali




Program tersebut dikelolakan oleh En Subra selaku Bendahari Bahagian. Pelbagai pihak telah memberi sumbangan dari bentuk wang ringgit dan barangankeADILan Bahagian Ledang telah berjaya menjalankan program Malam Muhibbah Deepavali yang telah diadakan di Pejabat Bahagian pada 2 Nov 2008 dari jam 7.00 - 10 malam. YB Manikavasagam telah dijemput sebagai jemputan khas program tersebut. Sekitar 200 orang pelbagai bangsa telah hadir pada majlis tersebut.. Acara-acara yang telah disusun termasuklah Persembahan Kebudayaan India, Nyayian Karaoke, Cabutan bertuah dan Jamuan. Untuk program ini masyarakat India sekitar telah memberikan sokongan dengan hadir ke masjlis tersebut.